Top

Tetapkan Matlamat Cinta dengan Jelas

March 10, 2008

CintaNabi Muhammad berkata:

“Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi setiap seseorang individu itu apa yang diniatkan”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mari kita sama-sama bayangkan kita mahu ke satu destinasi pelancongan bagi berehat dan menenangkan fikiran. Sudah sekian lama kita mahu bercuti tetapi tidak berkesempatan, dan minggu hadapan kita diberikan pelepasan untuk bercuti selama satu minggu. Kita mengharapkan cuti ini adalah percutian yang mendamaikan dan membuang segala keresahan di minda. Jadi sebelum kita pergi bercuti kita melihat destinasi pelancongan yang kita pilih. Berapakah jaraknya daripada tempat tinggal kita? Apakah pengangkutan yang perlu diambil untuk ke sana? Berapa banyak hotel berkos sederhana yang ada di sana? Adakah makanan di sana murah ataupun harganya? Adakah kita perlu berbelanja bagi tujuan perkhidmatan-perkhidmatan lain? Sekarang ini musim apa di sana?  Adakah terdapat tempat mesin mengambil duit di sana? Apabila sudah berbuat begitu kita sudah mendapatkan gambaran kasar mengenai keadaan dan situasi tempat pelancongan kita itu.

Dua hari sebelum kita pergi, kita sudah mula mengemaskan pakaian dan peralatan untuk ke sana. Apabila kita mahu memasukkan pakaian ke dalam beg, perkara yang kita ambil kira tentulah pakaian apa yang perlu dipakai semasa keberadaan kita di sana. Ia mengambil kira jenis tempat, adakah ia kawasan pantai, air terjun, kawasan pergunungan dan sebagainya. Kasut yang dipakai juga berbeza di antara satu tempat dan satu tempat yang lain.

Kemudian kita mengambil kira apakah aktiviti yang kita ingin lakukan di sana. Adakah mahu memancing? Mahu berenang? Mahu Berkayak? Mahu mendaki gunung dan banyak lagi. Setiap satu aktiviti perlukan peralatan yang lengkap bagi memastikan kita tidak menghadapi masalah semasa di sana nanti.

Apabila kesemuanya sudah disediakan, kita mengambil kira kenderaan kita jika kita memandu sendiri. Adakah enjinnya sudah diservis bagi berjalan jauh? Adakah minyak mencukupi ataupun perlu diisi di tengah perjalanan. Jika tidak ada stesen minyak dalam jarak perjalanan, kita perlu mengisi minyak terlebih dahulu. Adakah tayar kereta berkeadaan elok buat perjalanan kita? Jika tidak kita perlu menukar tayar dan sebagainya.

Kemudian apabila kita keluar daripada rumah kita akan memastikan rumah kita berkunci dan keseluruhan bekalan elektrik rumah ke plag-plag sudah dimatikan. Gas rumah sudah ditutup dan jiran-jiran sudah diberitahu mengenai pemergian kita agar keselamatan rumah terjamin. Apabila kesemuanya itu sudah selesai, barulah kita bertolak dengan hati yang tenang.

Mungkin ramai yang bertanya, apakah tujuan segala perkara di atas diceritakan dalam buku cinta? Kami bukannya mahukan panduan melancong tetapi panduan bercinta. Ha!!! inilah sebabnya kita bercerita perkara di atas. Cuba kita bayangkan salah satu perkara di atas tidak dilakukan? Apakah yang akan terjadi kepada percutian tersebut? Adakah percutian tersebut sampai ke matlamat yang kita kehendaki? Tentunya percutian tersebut adalah percutian yang amat memedihkan dan mengganggu jiwa. Asalnya kita mahukan keseronokan akhirnya menjadi bencana.

Begitu juga dalam bercinta, kita sebagai seorang pencinta dan orang yang ingin bercinta perlu meletakkan matlamat yang jelas dalam percintaan. Apakah sebenarnya tujuan kita bercinta? Adakah kita hanya ingin bersuka-suka? Adakah kerana orang lain ada pasangan kita hendakkan pasangan juga? Adakah kerana ingin membalas dendam di atas cinta yang lalu? Adakah kerana kita ini tidak boleh hidup bersendirian? Adakah? Adakah? Adakah?

Apabila kita mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan terutamanya percintaan kita barulah kita boleh mendapatkan apa yang kita cari. Setiap orang mempunyai impian pasangannya yang tersendiri. Ada yang inginkan pasangan yang cantik dan sedap mata memandang. Ada yang inginkan pasangan yang kacak bergaya. Ada yang inginkan pasangan berada dan mempunyai kereta besar.

Namun begitu kita perlu lihat adakah impian dan idaman kita itu abadi ataupun tidak? Dalam kajian yang dilakukan di sebuah institusi pengajian tinggi tanah air,seramai 100 responden dikaji selidik mengenai cinta. Kebanyakannya adalah individu yang pernah bercinta dan sedang bercinta. 60 orang responden yang mengatakan bahawa mereka bercinta kerana ikutan trend semasa yang mahukan pasangan. Lebih daripada separuh mengatakan bercinta untuk suka-suka. Dan yang mengecewakan kurang daripada 30 peratus mengatakan mereka bercinta untuk mendirikan rumah tangga.

Tetapkan Niat Murni Untuk Bercinta

Di dalam Islam, kita amat menggalakkan semua individu mendapatkan pasangan dan berkahwin bagi tujuan mendapatkan ketenangan serta menambahkan keturunan. Ia juga dapat mengelakkan perkara-perkara maksiat seperti berzina, berkhalwat, merogol yang disebabkan oleh hawa nafsu yang tidak terkawal. Jadi Islam meminta setiap individu yang berkemampuan daripada sudut fizikal, kewangan, mental dan rohani untuk mencari pasangan dan berkahwin.

Jadi dalam kita bercinta dan mencari cinta kita perlu ada niat dan matlamat yang jelas agar kita membuat keputusan terbaik dalam kehidupan. Matlamat akhir secara umumnya adalah tentulah bagi mendapat keredaan dan keberkatan daripada Tuhan Maha Pencipta.

Islam menyarankan kita bercinta atas tujuan untuk berkahwin bukannya hanya untuk bersuka-suka. Perkahwinan yang halal ini dapat mengurangkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin juga diberikan banyak kelebihan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Perkongsian Minda Oleh :

Fauzul Na'im Ishak
Konsultan Kanan MQ Human Development
Laman Rasmi : www.fauzulnaim.com
Email Rasmi : fauzul@bookpro.my

Popularity: 68% [?]

Diskusi

Sila Berikan Pandangan & Diskusi





Bottom