Skrip Hidup Selari Dengan Takdir
April 2, 2008
Apabila menyebut mengenai skrip hidup, ramai yang terbayang tulisan skrip di dalam filem, teater dan sebagainya. Mereka membayangkan wujudnya pelakon, pengarah dan krew yang mengendalikan filem. Apabila kita membayangkan begitu, tentu ada yang bertanya kembali. Benarkah adanya skrip hidup? Siapakah pelakonnya? Siapakah pengarahnya? Siapakah krew-krewnya?
Jika itulah bayangan kita maka kitalah pelakonnya, kitalah pengarahnya dan kitalah krew-krewnya? Ha! Bagaimana boleh jadi begitu?
Allah menyatakan di dalam surah Ar Raad ayat 11 bahawa Dia tidak akan mengubah nasib, keadaan, situasi dan apa sahaja sesuatu kaum, individu, organisasi kecuali mereka mengubah nasib mereka sendiri. Ini jelas membayangkan bahawa kita penentu kepada apa yang berlaku kepada diri kita. Kitalah penulis skrip, pelakon, pengarah dan krewnya bagi filem hidup yang diterbitkan oleh kita.
Tidakkah Ia Bersalahan Dengan Takdir?
Apabila menyebut mengenai takdir, kita harus apakah sebenarnya takdir itu. Takdir boleh dibahagikan kepada dua iaitu takdir mubram dan takdir muallaq.
a) Takdir Mubram
Takdir mubram adalah takdir yang menunjukkan kekuasaan Allah. Ia tetap dan tidak akan berubah. Antara yang kita boleh lihat dengan jelas mengenai takdir ini adalah air hujan yang turun dari langit, mati yang pasti dan air sungai yang turun dari atas bukit.
Kesemua ini sudah tetap dan tidak boleh diubah. Tidak mungkin air hujan berubah dari bawah naik ke atas, orang hidup selama-lamanya dan air sungai berubah arah dari bawah bukit ke atas bukit.
b) Takdir Muallaq
Takdir muallaq adalah takdir yang berubah-ubah mengikut usaha dan kehendak manusia. Sebagai contoh sakit, kita boleh mengubah takdir sakit itu kepada takdir sihat dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Dr. dan memakan ubat.
Dalam satu kisah, Saidina Umar Al-Khattab bersama rombongannya melawat satu bandar. Sebelum memasuki bandar tersebut, beliau mendapat berita bahawa bandar tersebut diserang penyakit berbahaya. Ini menyebabkan ia mengubah rancangan dan tidak memasuki bandar tersebut.
Ada daripada ahli rombongan yang berkata kepada Saidina Umar
“Tidakkah engkau hendak melawan takdir wahai Umar?
Umar menjawab
“Tidak! Aku mengubah daripada takdir sakit kepada takdir sihat”
Ini jelas menunjukkan bahawa kita boleh menulis skrip hidup kita mengikut kehendak kita, selagi mana ia tidak bersalahan daripada peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh agama.
Perkongsian Minda Oleh :Fauzul Na'im Ishak
Konsultan Kanan MQ Human Development
Laman Rasmi : www.fauzulnaim.com
Email Rasmi : fauzul@bookpro.my
Artikel Lain Dalam Kategori Diri
- Cukupkah Belon Hidupku? - June 15th, 2008
- Orangkah Yang Penyebab Kekalahan? Ataupun Diri Kita? - May 12th, 2008
- InsyaAllah Yang Disalahgunakan - May 9th, 2008
- Menjadi Pemimpin Mengikut Acuan Sendiri - December 2nd, 2007
- Akhirnya Bertemu Dengan Yang Dicari - October 8th, 2007
Popularity: 62% [?]









Diskusi
Sila Berikan Pandangan & Diskusi