Biodata Jurulatih?
Fauzul Na’im Ishak dilahirkan pada 24 Jun 1977 di Batu Gajah, Perak. Mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah sebelum kekal di Sekolah Kebangsaan Telok Kechai, Kuala Kedah (SKTK), Kedah hingga ke darjah 6. Di SKTK beliau memegang jawatan sebagai pengawas dan sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah. Mewakili sekolah dalam beberapa acara pengucapan awam seperti berpuisi, berpidato dan bercerita. Juga membantu sekolah menjadi juara kawd kaki PBSM peringkat negeri Kedah. Pernah memperoleh anugerah kecemerlangan sekolah sejak daripada darjah 3 hingga darjah 6. Beliau mendapat 5A di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (5A) dan ditawarkan ke beberapa buah sekolah, Maktab Mahmud, Sekolah Menengah Agama Kedah dan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH). Beliau memilih SMACH.
Di Sekolah Menengah Sains Machang
Di SMACH, bakat kepimpinan beliau agak terpendam. Tidak pernah memegang apa-apa jawatan penting dalam persatuan. Namun begitu bakat sukan beliau digilap di sini. Mewakili sekolah dalam sukan bola keranjang sekolah hingga ke Piala Perdana Menteri Zon Timur dan sukan bola baling hingga mendapat tempat ketiga Kelantan. Juga mewakili sekolah dalam kadet pancaragam sekolah hingga dijemput membuat persembahan di istana Sultan Kelantan. Mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (1992) dan Sijil Pelajaran Malaysia (1994). Ditawarkan tempat di Pusat Asasi Sains Hayat Universiti Malaya. Pernah ditawarkan biasiswa Angkatan Tentera Malaysia bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Pembedahan dan Perubatan di Royal College Of Surgeon, Dublin tetapi menolaknya kerana ingin mengambil jurusan sama di Malaysia.
Di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya
Di Pusat Asasi Sains, beliau mengambil jurusan Asasi Sains Hayat. Di sini bakat kepimpinannya mula digilap. Beliau dipilih bagi menjadi Pengarah Malam Emas Asasi Sains, projek terbesar Pusat Asasi Sains. Dipilih untuk bertanding bagi jawatan presiden Jawatankuasa Bertindak Pusat Pelajar Pusat Asasi Sains dalam pilihanraya peringkat Pusat Asasi Sains tetapi kalah dengan undian tipis. Beliau juga terpilih untuk menjawat jawatan penting dalam projek anjuran Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya. Pengurus Jamuan Projek Surau KK5, AJK Surau dan beberapa projek lain.
Bakat pada dirinya menjadikan beliau antara pelajar pusat asasi sains yang aktif dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Biro Sukan dan Kebudayaan, MPMUM 1996/97. Bergiat aktif dengan memegang jawatan dalam projek anjuran biro MPMUM. Antaranya Timbalan Pengarah Sukan Antara Fakulti dan Penolong Pengarah Operasi Khidmat Mahasiswa Sabah 1996.
Di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya
Cita-citanya hendak menjadi doktor terkandas kerana tidak mendapat tempat di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Ini disebabkan oleh perubahan sistem 2 tahun kepada ekspress. Beliau ditawarkan tempat di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Letrik. Keaktifan beliau dalam gerakan mahasiswa berterusan. Beliau terpilih untuk menjadi calon umum dalam pilihanraya kampus 1997/98. Antara calon pertama daripada mahasiswa tahun pertama dalam sejarah pilihanraya kampus Universiti Malaya. Beliau menang dalam pertandingan tersebut dan dilantik menjadi Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (nama lain bagi MPMUM) 1997/98.
Di bawah kepimpinan beliau, beberapa projek besar MPMUM diasas dan dijalankan. Antaranya adalah :
- Karnival Rakan Muda Universiti Malaya 1997 (bertindak sebagai Ketua Pengarah Projek)
- Operasi Khidmat Mahasiswa Sarawak 1997 hingga 2000 (Pengerusi Tetap)
- Pengarah Urusan Makmal Laman Web MPMUM (Pengasas penubuhan)
Beliau juga menjadi sidang pengarang Majalah Varsiti 1997. Beliau juga terpilih bagi mewakili Malaysia dalam pertukaran Belia Korea-ASEAN. Pada tahun seterusnya beliau tidak terpilih menjadi MPMUM
Namun begitu beliau terus aktif dalam kolej kediaman yang beliau duduki. Menjadi Pengarah Malam Gemilang Pantai Puri dan Ketua Pengarang Sidang Redaksi Majalah Kolej Kediaman Pantai Puri. Di luar kampus beliau aktif dalam Tanzim Mahasiswa Islam Perak (TAMPAK) dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agongnya.
Di atas bakat ini juga beliau dijemput masuk ke dalam PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS P&D) bagi membangunkan judul buku PTS P&D semasa masih di tahun akhir. Namun begitu pendidikan beliau berakhir kerana beliau mendapat status gagal keluar pada tahun akhir di Kejuruteraan Letrik Universiti Malaya. Beliau tidak pernah menyalahkan keaktifan beliau dalam gerakan mahasiswa sebagai faktor utama kegagalan pengajian beliau. Apa yang beliau selalu kata,
Rezeki bukan ditentukan oleh segulung ijazah, ia diperoleh daripada usaha bersungguh-sungguh dengan tawakal kepada Allah.
Karier Dalam Bidang Penerbitan
FAUZUL NA’IM ISHAK memulakan karier di dalam bidang penerbitan dan latihan penulis seawal berusia 23 tahun iaitu pada tahun 2000. Pada ketika itu beliau masih menuntut dalam sarjana muda kejuruteraan Universiti Malaya. Beliau di’jemput’ masuk oleh Puan Ainon Mohd. bagi menyertai ahli keluarga syarikat penerbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS P&D). PTS P&D pada ketika itu berada di dalam tahun pertama operasinya. Keadaan syarikat yang masih baru dengan pelbagai kesukaran yang berlaku menjadikan Fauzul mempelajari pelbagai perkara dan selok belok penerbitan buku.
Beliau bermula dengan jawatan sebagai Editor Perolehan yang bertanggungjawab membina judul buku dan membangunkan senarai penulis buat PTS P&D. Kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan di mana beliau berjaya membina rangkaian penulis bermula di sebelah utara semenanjung Malaysia. Kawasan utama yang dijelajahinya adalah Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Pelbagai program pembangunan penulis dibuat di sana termasuklah bengkel penulisan, pertemuan kumpulan penulis dan one to one dengan penulis.
Modul pembangunan penulis mula dibina hasil garapan idea Puan Ainon Mohd dan beliau. Modul latihan tersebut dibangun dan dikembangkan serta digunakan hingga sekarang. Daripada usaha itu, pelbagai tajuk diperoleh dan PTS P&D mula mengorak langkah sebagai penerbit yang dikenali di IPTA utara.
Di samping itu juga beliau memangku jawatan sebagai eksekutif jualan dan pemasaran wilayah utara disebabkan kekurangan kakitangan di PTS P&D. Hasil daripada itu Fauzul mendalami segala selok belok jualan dan pemasaran buku. Beliau mempunyai pengalaman pahit manis sepanjang mengendalikan jualan di sana. Terutamanya sebab PTS P&D masih baru.
Hasil usaha padu daripada semua ahli keluarga PTS P&D, syarikat berkembang pesat dan pada tahun 2002, Fauzul dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Penerbitan PTS P&D. Bermula daripada saat itu beliau mula membina sistem editorial PTS P&D. Pembinaan dan pengaplikasian Standard of Operating Procedur (SOP) menjadi asas kepada sistem editorial tersebut. Ia bertujuan memastikan kelancaran pengurusan penerbitan buku daripada terima manuskrip hinggalah buku siap masuk ke dalam stor. Sistem tersebut dibina dan dikembangkan daripada tahun ke tahun hinggalah menjadi sistem standard Kumpulan Syarikat PTS sekarang ini.
Pada tahun 2005, PTS Consultant Sdn Bhd syarikat induk PTS P&D selepas lawatan En. Fauzul dan En. Arief ke Indonesian Book Fair, Jakarta membuat keputusan merombak struktur syarikat. Fungsi penerbitan PTS P&D dikeluarkan dan hanya mengekalkan fungsi pengedaran buku sahaja. Fungsi tersebut diserahkan kepada 3 anak syarikat yang baru ditubuhkan iaitu PTS Millennia Sdn Bhd, PTS Professional Publishing Sdn Bhd dan PTS One Sdn Bhd. En Fauzul diberikan tanggungjawab sebagai pengarah eksekutif dan pengurus di PTS Millennia Sdn Bhd hingga sekarang.
Hasil daripada pengalaman selama hampir 7 tahun ini, beliau berjaya melahirkan dan membina pelbagai judul buku daripada pelbagai latar belakang penulis. Daripada latar belakang akademik hinggalah kepada popular. Daripada kurang terkenal kepada yang terkenal. Antara penulis besar yang berkarya di bawah penerbitan PTS Millennia Sdn Bhd adalah Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Zawawi Mat Yusoh, Dr. Danial Zainal Abidin dan Dr. Robiah K. Hamzah. Judul-judul bestseller di bawah penerbitan PTS Millennia Sdn Bhd adalah 55 Petua Orang Berjaya, Tip Menjadi Individu Menarik, 7 Formula Individu Cemerlang dan banyak lagi.
Beliau juga sering dijemput memberikan bengkel di institusi pengajian tinggi, badan kerajaan dan bukan kerajaan. Antara badan yang pernah menjemput beliau mengendalikan bengkel penulisan adalah :
- Universiti Malaya, Kuala Lumpur
- Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
- Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
- Universiti Sains Malaysia Kejuruteraan Transkrian
- Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor
- Universiti Islam Antarabangsa, Gombak
- Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
- Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat
- Universiti Sains Malaysia Cawangan Kubang Kerian, Kelantan
- Maktab Perguruan Bukit Mertajam
- Kolej IKRAM
- Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
- Angkatan Belia Islam Malaysia
- Persatuan Penulis Kelantan
dan banyak lagi
Rumahku Syurgaku
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Nuruhilyati Abdul Halim pada 12 April 2002. Individu yang berjaya memikat hatinya ini adalah seorang graduan sarjana muda Penyelidikan Operasi (Matematik) Universiti Sains Malaysia. Berasal daripada Kampung Bujang, Merbok, Kedah Darul Aman. Sekarang bertugas sebagai editor pengurusan di PTS Professional Publishing Sdn Bhd, salah sebuah anak syarikat di bawah Kumpulan PTS
Rumah tangga mereka dikurniakan dua cahaya mata :
- Muhammad Iqbal Nu’aim Fauzul Na’im - 16 Februari 2003
- Muhammad Isyraf Idraki Fauzul Na’im - 29 Februari 2006
Bisnes-bisnes Lain
Selain daripada menjadi penerbit beliau juga mempunyai beberapa perniagaan lain yang diusahakan bersama ahli keluarga beliau. Pada tahun 2004, bersama dengan bapa beliau Tuan Haji Ishak Haji Ibrahim menubuh MIFF Edar sebuah perniagaan perkongsian yang menfokuskan aktivitinya kepada penjualan dan pengedaran buku. Pada tahun pertama operasinya, MIFF Edar hanya menjual buku-buku edaran PTS P&D sahaja. Pada tahun itu juga Fauzul mengusahakan pembangunan laman web kedai buku online e-Kedai.net : Kedai Buku Online Anda. Laman ini hasil cetusan idea beliau selepas membuat sedikit kajian dan penelitian kepada bisnes internet. Dalam masa 3 tahun laman e-Kedai.net sudah mula dikenali dan menjadi antara kedai buku online terbesar di Malaysia.
Di samping itu juga produk buku yang ditawarkan bertambah kepada buku-buku terbitan syarikat lain seperti :
- Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
- KarnaDya Solutions Sdn Bhd
- Jemari Seni
- Telaga Biru Sdn Bhd
- Alaf 21 Sdn Bhd
- ArRisalah Sdn Bhd
- NHF Media
- Nylea Publishing
- dan banyak lagi.
Selain daripada MIFF Edar, Fauzul menubuhkan perniagaan yang mengkhusus kepada khidmat nasihat dan latihan pembangunan diri, MQ Human Development (MQ). Di bawah MQ beliau menganjurkan bengkel-bengkel pembangunan diri bagi ibu bapa dan pelajar sekolah. Syarikat ini masih di peringkat awal dan dalam program pembangunannya.
Beliau juga menubuhkan beberapa perniagaan lain dengan berlainan fokus iaitu :
- FN Business Solution - Perniagaan induk
- FN Farm Management
- Fn Farm Trading
- MQ IT Services
- Book Pro Publishing Services
Pembangunan Laman Web
Beliau ada satu ‘kegilaan’ ataupun hobi yang beliau suka iaitu membangunkan laman web. Sehingga sekarang lebih daripada 10 laman web yang dibangunkan beliau secara individu dan kerjasama beberapa pihak. Antaranya adalah
- www.akademipenulis.com : Laman web khidmat nasihat penulisan
- www.e-kedai.net : Laman web kedai buku online
- www.drcinta.com : Majalah online perhubungan dan cinta
- www.formulacemerlang.com : Majalah online pembangunan diri dan Islam kontemporari
- www.raudhatunnaim.com : Laman web peribadi bersama isteri beliau
- www.fauzulnaim.com : Laman web peribadi beliau
- www.fauzulnaim.biz : Laman web perniagaan FN Group Of Companies
- www.reaktif.com : Majalah online remaja
- www.ladangonline.com : Laman web penternakan
- www.motivasialihanpelajar : Laman web kerjasama dengan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pakar motivasi pelajar
- www.mailjah.com
Popularity: 11% [?]








