Top

Mengapa Perlu Berpasangan Dan Berkahwin?

March 10, 2008

Dalam Islam, kehidupan bersendirian atau bujang tidak digalakkan disebabkan ia bukannya fitrah manusia. Fitrah berpasangan ini memang sudah  ditetapkan oleh Tuhan sejak mula-mula penciptan Adam dan Hawa lagi.

Jadi Islam tidak menyukai umatnya yang tidak mengikut fitrah dan tabiat semula jadinya. Ia berlawanan dengan cita-cita dan kecenderungan hawa nafsu. Ini terang-terangan dikatakan oleh Nabi Muhammad yang menyebut bahawa orang yang tidak mengikut sunnah adalah bukan daripada golongannya.

A. Kepentingan Masyarakat

Islam menetapkan bagi pasangan bercinta perlu ada matlamat perkahwinan. Melalui perkahwinan ia mewujudkan satu perhubungan percintaan yang halal dari segi syarak dan mengelakkan perkara-perkara haram dalam kehidupan. Perjanjian cinta melalui akad nikah yang sah akan mewujudkan keturunan yang sahih bukan sahaja untuk satu generasi tetapi sampai ke generasi yang seterusnya. Keturunan sah ini berterusan hingga bercabang-cabang perhubungannya yang lain.

Ini memelihara akhlak masyarakat yang berada dalam dunia yang penuh mencabar ini. Segala saluran maksiat terbuka sudah terbuka luas dengan ledakan dunia tanpa sempadan, saluran media tanpa tapisan ketat, akses maklumat tanpa batasan menyebabkan kita perlu memperkukuhkan institusi kekeluargaan ini dengan perkahwinan yang sah.

Penyaluran naluri seks mengikut cara yang betul dapat mencegah penyakit-penyakit sosial serta penyakit-penyakit fizikal seperti AIDS, siplis dan banyak lagi. Kesemua penyakit wujud daripada perhubungan bebas tanpa had dan peraturan agama. Gejala buang bayi, pelacuran, bersekedudukan tanpa nikah, lesbian dan homoseksual adalah gejala sosial yang disebabkan oleh menyalah letakkan hawa nafsu.

B. Pemeliharaan Keturunan

Sebuah perkahwinan yang jelas kedudukannya akan memudahkan generasi seterusnya. Segala susur galur keturunan akan datang mempunyai jiwa yang tenteram dan harga diri mulia. Namun begitu tanpa perkahwinan mengikut syariat menyebabkan porak peranda dalam masyarakat. Kelahiran keturunan yang tidak mempunyai keturunan menjadi duri dalam daging kepada kerosakan masyarakat.

C. Ketenteraman Rohani dan Naluri

Kehidupan berkeluarga diwujudkan melalui ikatan murni ini menghasilkan ketenangan dan ketenteraman yang tidak dirasai oleh orang bujang. Kehidupan dengan rahmat Tuhan sentiasa dirasai oleh pasangan berkahwin. Penyaluran kasih sayang suami isteri mewujudkan kekuatan kepada diri dalam menghadapi apa jua bentuk cabaran kehidupan. Kepenatan serta keletihan hilang serta merta kepada diri suami apabila senyuman si isteri dan begitu juga sebaliknya.

Suasana keharmonian ini juga membina minda yang lebih matang dan kental. Kita lebih membuka minda dan melihat sesuatu perkara dengan pandangan yang lebih jauh bukannya sempit seperti di zaman bujang. Ini digabung pula dengan kekuatan mendapat anak daripada zuriat sendiri. Hanya yang merasa sahaja tahu kenikmatannya.

Perkongsian Minda Oleh :

Fauzul Na'im Ishak
Konsultan Kanan MQ Human Development
Laman Rasmi : www.fauzulnaim.com
Email Rasmi : fauzul@bookpro.my

Popularity: 75% [?]

Diskusi

Sila Berikan Pandangan & Diskusi





Bottom