Top

Jasa Mu Guru

May 20, 2008

Saya mungkin agak terlewat untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru di seluruh Malaysia. Terlewat di atas kelemahan diri mengatur masa untuk menulis di dalam blog ini. Kebelakangan ini banyak perkara yang berlaku membuatkan komitmen kepada kerja bertambah.

Walaubagaimanapun satu hari saya membuka siaran Radio 24 yang sering saya buka apabila memandu di dalam kenderaan. Penting kerana saya tidak mempunyai banyak masa untuk duduk dan membaca akhbar, jadi radio ini memberikan maklumat terperinci mengenai berita yang berlaku di sekeliling kita.

Satu segmen yang membangkitkan ingatan saya kepada jasa guru apabila si pengacara membacakan kembali bait-bait sajak karya Dato’ Othman Awang. Sajak ini amat membekas kepada diri saya dan menyebakkan dada saya seketika. Kita ikuti sajaknya di bawah

Sajak - Guru Oh Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Apabila mengingat di mana kita berada sekarang, sebenarnya banyak jasa guru. Tanpa mereka kita tidak melihat dunia dengan mata pandang berbeza. Mungkin masih dengan mata pandang masyarakat sekitar sahaja. Dengan mata pandang yang diberikan oleh guru, kita melihat dunia dengan mata yang lebih luas. Mata luas membuka minda dengan lebih luas.

Wujudnya guru menjadikan kita berfikir, ya tanpanya kita tidak dilatih berfikir. Wujudnya guru menjadikan kita bercakap, ya tanpanya mungkin kita hanya boleh membisu. Wujudnya guru menyebabkan kita mendengar, ya tanpanya mungkin kita masih ‘pekak’. Wujudnya guru menjadikan kita kenal dengan makna, ya jasamu guru.

Terima kasih guru. Tanpamu siapalah kami, engkaulah yang membumikan ilmu Ilahi untuk anak-anak muridmu. Terima kasih sekali lagi. Selamat Hari Guru Kepada Semua Guru, Pensyarah dan sesiapa sahaja bergelar pendidik. Teruskanlah usaha kalian, hanya Allah yang dapat membalasnya.

Perkongsian Minda Oleh :

Fauzul Na'im Ishak
Konsultan Kanan MQ Human Development
Laman Rasmi : www.fauzulnaim.com
Email Rasmi : fauzul@bookpro.my

Artikel Lain Dalam Kategori Kerjaya

Popularity: 72% [?]

Diskusi

Sila Berikan Pandangan & Diskusi





Bottom