Top

Idea-idea Bisnes Pelancongan

August 13, 2007

Tempoh hari saya berada di Tanah Mahsuri, Pulau Langkawi. Banyak aktiviti yang dilakukan oleh saya dan keluarga di sana. Daripada aktiviti naik bot pusing pulau hinggalah membeli belah di pulau bebas cukai ini.

Di sana ada beberapa perkara yang menarik iaitu idea-idea bisnes yang boleh dijalankan oleh penduduk di sini. Ketika saya berada di jeti Awana Porto Malai bagi menaiki bot laju untuk pusing pulau-pulau sekitar Langkawi. Ada beberapa orang yang mengambil foto para peserta yang ingin serta dalam perjalanan ini. Pada pandangan saya mungkin ini hobi mereka. Mereka mengambil gambar dengan menggunakan kamera SLR yang agak canggih.

Pengalaman pusing pulau sekitar Langkawi cukup menarik. Daripada Pulau Dayang Bunting, Pulau Beras Basah hinggalah ke Pulau Singa Besar. Kecantikan alam sekitar dengan habitat yang cukup mempesona. Anak-anak saya bersama isteri dan ibu bapa saya cukup puas hati dengan aktiviti ini. Anak-anak mandi tidak ingat dunia di Pantai Pulau Beras Basah.

Ketika kami hampir ke jeti selepas 4 jam pusing pulau, kami dapat melihat beberapa banglo sedang dibina di tepi jeti tersebut. Makluman daripada pemandu bot ia adalah milik jutawan Melayu. Dijual dengan harga yang cukup tinggi. (Apabila pulang saya mendapat tahu pemiliknya ada bau-bau bacang dengan keluarga saya).

Kami naik ke jeti dan melihat di pelantar jeti tersebut ada meja yang diletakkan beberapa pinggan kecil. Yang mengejutkan saya adalah pada pinggan-pinggan kecil tersebut terdapat wajah-wajah kami. Daripada wajah anak saya yang kecil hinggalah wajah ayah saya. Mereka tawarkan harga RM10 bagi setiap pinggan kecil tersebut. Dengan rasa gembira saya membeli kesemuanya. Ini idea bisnes yang cukup baik. Sudah tentu pelanggan tidak sampai hati untuk tidak membeli pinggan kecil yang ada rupa mereka.

Yang saya bangga ia dibuat oleh anak-anak muda Melayu. Ini anak-anak Melayu yang berfikir di luar kotak.

Popularity: 30% [?]

Bottom